Kenali Kompleks Al-Saadah, Seremban
Kompleks Al-Saadah telah beroperasi pada Mac 2011 di sebuah kawasan
tanah wakaf berkeluasan 1.78 ekar. Kompleks Al-Saadah telah dilancarkan secara rasminya oleh Yang di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 Januari
2012. Kompleks Al-Saadah ini juga menempatkan pejabat Muslim Reverts’
Association (MRA) dan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) yang
sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami agama
Islam tidak kira di kalangan saudara baharu ataupun yang baru berniat untuk masuk
Islam.
Di antara kemudahan yang disediakan di sini adalah dewan solat yang
boleh memuatkan 300 orang, bilik asrama perempuan, bilik asrama lelaki, bilik
untuk mubaligh, bilik kuliah, dewan kuliah dan dewan makan. Kompleks ini juga turut menyediakan kelas fardu ain dan Al-Quran
sepanjang minggu pada sebelah malam untuk saudara-saudara baharu yang menetap
di asrama dan kawasan sekitarnya. Kesemua tenaga pengajar yang mengendalikan
kelas tersebut datangnya daripada tenaga pengajar yang berpengalaman mengajar
mualaf dan dilantik oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Kompleks Al-Sa’adah ini
juga boleh dikatakan sebagai mercu tanda di Negeri Sembilan di samping menjadi
tempat saudara baru/mualaf mendalami dan memantapkan kefahaman Islam dengan
solat berjemaah, mengikuti kelas bimbingan akidah, mendapatkan khidmat
rundingan keluarga serta pelbagai lagi aktiviti sosial dan kemasyarakatan yang
lain. Semua peruntukan operasi kompleks dan
pembiayaan saudara baharu yang mendapatkan perlindungan di sini dibiayai
sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui dana zakat
(asnaf mualaf).
Pembinaan kompleks
itu pada asalnya adalah bagi mewujudkan sebuah masjid khas untuk komuniti Cina
Muslim di Negeri Sembilan kerana pada masa itu orang Melayu, India Muslim,
Pakistan, India Malabar, komuniti berbahasa Tamil, Urdu dan sebagainya telah
mempunyai masjid atau madrasah masing-masing. Jadi, pembinaan Kompleks Al-Sa'adah ini diwujudkan sebagai tempat
untuk masyarakat Cina Muslim berkumpul dan menjalankan aktiviti mereka selain
ia dibina dengan konsep seni
bina tradisi kaum Cina iaitu gabungan seni bina Masjid Xian, China dengan
adaptasi dari ciri-ciri dan kepercayaan masyarakat Islam.
No comments:
Post a Comment